02 Februari 2009

Penduduk Kg. Kauran mengadakan aktiviti bergotong-royong membersihkan Tabika Kemas, Mini Dewan dan Bilik Gerakan Daya Wawasan

Hari ini kutulis berita mengenai aktiviti bergotong-royong membersihkan Tabika Kemas, Mini Dewan dan Bilik Gerakan Daya Wawasan. Berita itu kukirimkan ke Utusan Borneo. Aku harap semoga ianya tersiar dan mendapat perhatian kepada semua orang dan pihak yang berkenaan.
Berikut ialah berita yang kutulis:


KENINGAU: Kira-kira Seramai 30 orang penduduk Kampung Kauran di sini mengadakan aktiviti bergotong royong membersihkan Tabika Kemas, Mini Dewan dan Bilik Gerakan Daya Wawasan di kampung tersebut pada Ahad.
Ketiga-tiga bangunan tersebut yang didirikan berhampiran turut dilanda banjir sedalam kira-kira tiga kaki berikutan hujan lebat pada minggu lalu menyebabkan kawasan di dalam dan luar bangunan dipenuhi dengan lumpur. Keadaan tersebut menyebab bangunan itu tidak dapat digunakan buat sementara dan aktiviti persekolahan kanak-kanak tergendala.
Seorang penduduk kampung yang ditemui, Lapeni Dumpolon, 56, berkata bahawa aktiviti gotong-royong itu dilakukan secara sukarela atas rasa kesedaran dan tanggungjawab masyarakat kampung bagi memulihkan keadaan seperti sedia kala.
Menurut Lapeni, kampung tersebut dilanda banjir lumpur pada minggu lalu sehingga meninggalkan kesan lumpur yang teruk serta memusnahkan harta benda dan merosakkan tanaman orang-orang kampung.
Lapeni menjelaskan masalah banjir lumpur ini sudah berulang sebanyak empat kali dalam tiga tahun berturut-turut sejak 2007 lagi katanya.
Tetapi tahun ini banjir berlaku sebanyak dua kali (berturut-turut), iaitu pada 23 dan 24 Januari sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk kampung.
Beliau berkata, punca banjir disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak sistematik, keadaan sungai yang semakin rendah, tidak lurus dan aliran mudah tersekat.
Selain itu, jambatan yang dibina di Sungai Mempikit(tengah kampung) agak rendah dan culvert yang ada di Sungai Kauran agak kecil menggundang kepada bencana alam ini, tegasnya sambil menjelaskan bahawa Kampung Kauran mempunyai dua batang sungai berkenaan sebagai sungai utama dan sungai berkenaan menjadi faktor utama banjir mudah berlaku, ujarnya.

Lapeni juga menjelaskan faktor lain yang dikenal pasti ialah kawasan kediaman yang agak rendah dan mudah ditakungi air termasuk kawasan kediaman beliau yang sering dilanda banjir
Tambah Lapeni lagi, faktor paling jelas ialah ketiadaan kawasan tadahan hujan di bahagian hulu kampung tersebut yang disebabkan oleh penebangan pokok dan penanaman kelapa sawit secara besar-besaran.
Keadaan yang berlaku ini menyebabkan sistem ketahanan tanah semakin longgar ulasnya dan apabila hujan lebat atau hujan turun berpanjangan mengakibatkan tanah mudah terhakis dan membawa kepada banjir lumpur ini, jelasnya.
Sementara itu Pemimpin Kemajuan Rakyat Liawan dalam ucapan ringkasnya pada majlis penyerahan bantuan berupa makanan kepada masyarakat kampung di sini berharap agar penduduk kampung tersebut bersabar menghadapi dugaan tersebut sebagai takdir Allah.
Apapun rata-rata penduduk kampung di sini berharap kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Haji Aman supaya dapat mengatasi masalah banjir tersebut dengan segera sebelum masalah yang tidak diingini berlaku.
Musa berserta beberapa orang ahli kabinet negeri yang melawat kampung tersebut pada minggu lalu telah berjanji untuk membina sebuah jambatan baru bagi menggantikan jambatan yang dibina di tengah-tengah kampung tersebut dan tidak sesuai lagi digunakan kerana dikatakan agak rendah dan masyarakat kampung berharap agar janji tersebut dikotakan segera bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu masyarakat kampung pada ketika ini.

Tamat.

Yang benar,

(JAMIL BIN AKOK)
U.P: Encik Lichong Angkui

Tiada ulasan: