12 November 2008

SFX PERLUKAN PEMBANGUNAN SEGERA

Sekolah Menengah Saint Francis Xavier Keningau atau ringkasnya SFX merupakan satu-satunya sekolah menengah yang tertua di Pedalaman Sabah sebelum wujudnya sekolah menengah yang lain. Sejarah awal penubuhannya bermula pada tahun 1960 dengan bilangan muridnya seramai 48 orang. Pengetua pertamanya seorang paderi berbangsa Inggeris, iaitu Rev. Fr. G. Bauer (1hb. Jan 1960 hingga 31 hb. Dec.1961) yang juga seorang guru besar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan. Paderi ini terkenal dengan gelaran ‘Keningau Cowboy’ yang begitu popular dalam kalangan masyarakat Keningau pada ketika itu. Pengetua seterusnya ialah Rev. Fr. E. Kauters (1hb. Jan. 1962 hingga 31hb Dec. 1962), kemudian Rev. Fr. J. Rooney (1hb. Jan. 1963 hingga 31hb. Dec. 1963).
Pada 1 Januari 1966, pentadbiran sekolah diasingkan di antara sekolah rendah dan sekolah menengah. Pengetua SFX pada masa itu ialah Rev. Mr. Gillespie(1hb. Mei 1966 hingga 31hb. Dec. 1966). Pengetua seterusnya ialah Rev. Fr. G. Bauer (1hb. Jan. 1964 hingga 30hb April 1966), Rev. Fr. Prendegast (1966-1967), dan Rev. Fr. Louis Kessel (1hb. Jan. 1967 hingga 31hb. Dec.1967).
Pada tahun 1971, sebuah bangunan pejabat pengetua sekolah menengah, guru besar dan guru-guru telah siap dibina. Kerajaan telah mengambil alih seluruh sekolah mission di seluruh negara pada tahun 1976 termasuklah sekolah ini. Sekolah ini ditukar daripada SMJK kepada Sekolah Menengah Saint Francis. Sebelum ini pentadbiran sekolah adalah di bawah pentadbiran mission. Semua gaji baru, kakitangan bukan mengajar dibiayai oleh mission tanpa bantuan daripada kerajaan.
Selama 15 tahun SMJK St. Francis Xavier dibuka, pengetuanya terdiri daripada paderi berbangsa Inggeris. Pada 1 Januari 1975, Encik Alek Lumau seorang anak tempatan telah dilantik menjadi pengetua bagi menggantikan Rev. Fr. T. M. Feldbrugge (1hb. Jun 1968 hingga 31hb. Dec. 1974). Perubahan teraju sekolah telahmengubah
bahasa penghantarnya daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Kerajaan mula memberi bantuan sepenuhnya dengan alat-alat bantuan mengajar di sekolah.
SFX yang masih relevan hingga kini terus tersergam setia dan berdiri kukuh telah melahirkan ramai pemimpin, ahli politik yang berjaya, tokoh perniagaan, para cendikiawan dan sebagainya.
Dalam usia yang semakin tua dan zaman yang terus beredar, SFX nampaknya memerlukan pembaharuan dan wajah baru. Dalam erti kata yang lain SFX sangat memerlukan pembangunan fizikalnya untuk memberi keselesaan kepada seluruh warganya. Kemudahan prasarana yang mencukupi dan yang lebih kondusif sudah tentu memberi banyak manfaat kepada semua pihak khususnya kepada ibu bapa, guru-guru dan para pelajar. Hasrat negara untuk menghasilkan kualiti pendidikan dan bertaraf dunia serta keinginan untuk melahirkan modal insan pastinya dapat direalisasikan andainya segala kemudahan yang diperlukan dapat disediakan.
SFX yang terletak berdekatan pekan Keningau mempunyai keluasan kawasan 2.3 ekar. Dengan keluasan kawasan yang terhad, sekolah tersebut bolehlah dianggap sebagai salah sebuah sekolah yang terkecil di negeri Sabah. Saiz kawasan yang kecil nampaknya memberi implikasi terhadap pelbagai aktiviti yang hendak dilaksanakan oleh para guru dan pelajar. Masalah ketiadaan padang, gelanggang permainan yang cuma satu dan bangunan yang terhad seringkali menjadi isu dan perbualan oleh ibu bapa, warga sekolah dan orang ramai. Masalah ini serngkali dibangkitkan dan menjadi rungutan tiap masa, namun penyelesaiannya belum lagi terjawab hingga kini sedangkan bilangan pelajar terus bertambah dari tahun ke tahun. Kini SFX mempunyai bilangan pelajar melebihi 885 orang, bilangan guru sebanyak 50 orang dan kaki tangan bukan mengajar(KTBM) 10 orang. Jumlah yang begitu ramai sudah tentu mengekang pelbagai aktiviti yang hendak dilaksanakan apabila kemudahan yang diperlukan amat terhad. Dalam jangka masa panjang keadaan yang berlaku ini sudah tentu memberi kesan terhadap prestasi sekolah khasnya dan pembangunan pendidikan secara amnya.
Namun apapun yang berlaku, sekolah terus berusaha mengatasi segala rintangan yang wujud dengan tidak membiarkan aktiviti terus terbantut demi untuk mencapai misi dan visi sekolah serta matlamat pendidikan negara. Para guru dan pelajar memainkan peranan mencari alternatif lain untuk terus melaksanakan sebarang aktiviti. Misalnya untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (pnp) bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) atau aktiviti kokurikulum, pihak sekolah adakalanya terpaksa berkongsi padang dengan sekolah rendah. Keadaan padang yang agak kecil sudah tentu menganggu keselesaan bagi kedua-dua sekolah menengah dan sekolah rendah untuk melakukan aktiviti. Tapi apakan daya ‘Tiada Rotan, Akarpun Berguna’. Selain itu, untuk aktiviti sukan atau kokum, pihak sekolah adakalanya menyewa Kompleks Sukan Keningau ,dan Dewan Masyarakat Keningau. Paling menyedihkan, pihak sekolah adakalanya menggunakan kemudahan sekolah lain sekiranya sekolah terpilih atau ingin menganjurkan satu-satunya kejohanan sukan, kokurikulum, seminar, dan sebagainya. Kadangkala sekolah juga menyewa Auditorium Perpustakaan, Hotel Juta dan Hotel Perkasa Keningau untuk sebarang aktiviti pentingnya.
Adakala acara rasmi seperti perhimpunan PIBG, dan Hari Ucapan, pihak sekolah menggunakan dewan sekolah rendah dan menyewa dewan Katedral SFX. Sewa-menyewa, pinjam-meminjam terus dilakukan bagi melaksanakan hasrat murni pendidikan tidak terabai.
Di sekolah, pondok ilmu, pusat sumber dan tapak perhimpunan terus diguna pakai agar aktiviti yang berkaitan dengan akademik, kokurikulum, dan sebagainya terus berjalan lancar. Iltizam dan semangat guru serta para pelajar tidak pernah luntur dan terkikis.
Selain itu, badan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah di bawah pimpinan Yang Dipertua PIBG Encik Johnny Tan Kulai terus bekerja keras dan aktif mencari dana demi meningkatkan lagi kemajuan dan prestasi sekolah. Sumbangan terbesar PIBG ialah menyumbang 16 buah komputer bernila RM33,120.00 pada tahun 2007 dan tahun ini (2008) membina tandas pelajar bernilai RM28, 648.90. Apakah pula sumbangan pemimpin kita? Ke manakah perginya mereka yang bergelar perjuangan bangsa atau pemimpin masyarakat?
Bersama-sama dengan Pengetua SFX Encik Johnny Apin, Encik Johnny T Kulai
terus berganding bahu mencari dana dengan mengadakan ‘Bazaria’, ‘Charity Dinner’, dan‘Golf Amal’ Segala ikhtiar tidak pernah terputus untuk membangunkan SFX.
Seterusnya usaha yang dilakukan adalah dengan memohon sumbangan daripada para pemimpin yang pernah bersekolah di SFX. Menurut rekod atau sejarah SFX, antara pemimpin, tokoh politik, ahli perniagaan dan individu yang berjaya dalam bidang masing-masing dan pernah bersekolah di SFX adalah seperti berikut:
1) Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan YB Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan
2) Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili
3) YBTan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup
4) ADUN Liawan YB Datuk Haji Sairin Haji Karno
5) ADUN Bingkor YB Encik Justin Guka
6) Timbalan Menteri Pengangkutan YB Datuk Seri Panglima Lajim Hj Ukin
7) Hakim Mahkamah Negeri Sabah Datuk Nurcahaya Haji Arshad
8) Bekas Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Bernard Maraat
9) Datuk Jeffery G. Kitingan
10) Kapitan Cina Liew Kit Lim
11) Datuk Ayub Aman
12) Datuk Wences Anggang
13) OKK Amir bin Datuk Arif
14) AJK Pemuda UMNO Malaysia Asnol Ayub Aman
15) Datuk Surinam Haji Sadikun
16) Datuk Richard Bainun
17) Ketua Bahagian UMNO Pensiangan Datuk Ghani Datuk Yasin
18) Ketua Pemuda UMNO Bahagian Keningau Encik Azman Haji Roslan
19) Encik Ahmad Shah Tambakau (Mantan Ahli Palimen Pensiangan dan Menteri Persekutuan
20) Encik Anjin Ajik
21) Encik Andrew Lin(Ahli Perniagaan)
22) Encik David Lin(Ahli Perniagaan)
23) Raymon Koh Kian Ling
24) Puan Aida Undan(Mantan Senator)

Pihak sekolah juga memohon simpati dan jasa baik daripada kerajaan negeri untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan. Pihak sekolah sangat menaruh harapan agar bangunan bertingkat dapat didirikan di sekolah tersebut bagi mengantikan sebuah bangunan lama di sekolah itu. Bangunan bertingkat ini sudah tentu memberi semangat dan motivasi kepada para pelajar, guru dan ibu bapa untuk melihat sekolah mencapai kemajuan. Kejayaan demi kejayaan yang diraihkan oleh sekolah selama ini akan terus dikekalkan dan dipertingkatkan. Sebagai contoh kejayaan sekolah dalam akademik pada tahun 2007 menunjukkan keputusan PMR amat memberangsangkan dengan peratus kelulusan 92.6% dan sekali gus meletakkan nama sekolah di tempat ketiga terbaik PMR di negeri Sabah. Manakala di peringkat SPM juga telah menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan peratus kelulusan 96.8%. Dalam bidang kokurikulum dan sukan juga turut memperlihat kejayaan demi kejayaan. Pencapaian sekolah yang membanggakan dalam bidang ini apabila pelbagai aktiviti yang dijalankan berjaya sampai ke peringkat negeri dan kebangsaan. Antara aktiviti tersebut termasuklah pertandingan kawad kaki, badminton, drama, choral speaking, kejohanan olahraga, squasy, basikal dan pertandingan mendeklamasikan sajak.
Menyentuh mengenai bangunan lama yang masih wujud di sekolah itu, menurut Pengetua SFX Johnny Apin ianya tidak lagi sesuai digunakan kerana sudah usang dan mengundang bahaya. Johnny menyatakan perkara ini berdasarkan hasil tinjauan dan kajian yang dibuat oleh Jabatan Kerja Raya(JKR) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat ke sekolah tersebut. Mereka mendapati bahawa bangunan tersebut tidak sesuai lagi digunakan kerana mempunyai risiko dari segi faktor keselamatan. Bangunan yang didirikan pada tahun 1971 itu sudah uzur dan usang dan perlu dirobohkan serta digantikan dengan bangunan yang baru. Bangunan tersebut pernah menempat bilik
pejabat, bilik pengetua, bilik guru besar, bilik ketua-ketua jabatan, bilik guru-guru dan bilik surau. Kini bangunan tersebut menjadi santapan anai-anai dan didiami oleh serangga berbahaya seperti kala jengking dan lipan. Keadaan demikian amat merisaukan warga sekolah yang menjadi penghuni setiap masa tidak kira siang atau malam.
Memang jelas kalau dilihat ke dalam bangunan sekolah tersebut keadaannya amat daif dan tidak sesuai untuk dihuni. Kalau dilihat di luar bangunan tersebut kita mendapati dindingnya berlubang, berkopak dan reput. Manakala zinknya pula sudah berkarat. Jikalau orang luar atau pelancong asing datang melawat ke sekolah berkenaan sudah tentu menjejaskan reputasi dan nama baik sekolah sekali gus mencerminkan gambaran pendidikan yang ada di Malaysia Apa tidaknya sekolah yang dianggap terletak dalam kawasan bandar Keningau boleh terlepas pandang oleh pihak yang berkenaan dalam saat-saat kita mahu memperkasakan sekolah, melahirkan modal insan dan merapatkan jurang pendidikan antara luar dan bandar. Dalam saat-saat kita mahu mengecapi kemajuan, tetapi malangnya sekolah di bandar (SFX) terus ketinggalan berbanding sekolah lain yang terus rancak dengan pembangunan fizikalnya.
Pengetua SFX turut melahirkan rasa risaunya dengan keadaan pembangunan di sekolahnya dan beliau meminta semua pihak memberi perhatian terhadap isu tersebut.
Menurut Johnny, beliau kerapkali menyuarakan masalah pembangunan yang wujud dan hasrat penyelesaiannya kepada pelbagai pihak namun sehingga kini masalah belum dapat diatasi sepenuhnya.
Pihak sekolah dan PIBG katanya terpaksa mencari dana untuk mengatasi segala kesulitan yang timbul.
Johnny sekali lagu merayu kepada semua pihak agar sama-sama berganding bahu membantu sekolah dari segi apa jua carapun atau strategi yang terbaik.
Menurut ibu bapa dan guru di sini, kesukaran pihak sekolah untuk mendapatkan bangunan ada kaitan dengan istilah ‘Mission School’ atau ‘Saint’ berbanding sekolah bertaraf ‘SMK’ Kalau sudut itu yang dilihat maka matlamat falsafah pendidikan negara untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab sebagai suatu perkara yang sia-sia dan sekadar laungan
yang tidak bermakna. Matlamat Pendidikan Negara untuk melihat semua rakyat Malaysia mendapat taraf pendidikan sama rata tanpa mengira kaum, bangsa dan agama tidak akan tercapai secara total. Perkara ini haruslah dilihat secara lebih telus dan berintegriti. Semua pihak harus bekerjasama dan memainkan peranan penting untuk sama-sama memajukan SFX dan menghasilkan kualiti pendidikan seperti mana yang menjadi agenda dan matlamat utama ibu bapa, bangsa dan negara.
Salah seorang guru yang ditemui Jufrina Mania berkata sekolah-sekolah lain mudah mendapat peruntukan tetapi sekolah kami semacam dipinggirkan.
Beliau yang sudah berkhidmat di sekolah tersebut sejak tahun 2000 lagi berkata bahawa masalah ini sudah wujud sekian lama.
Jufrina tidak menafikan dengan istilah ‘Mission School’ dan ‘Saint’ turut menyukarkan pemberian bantuan.
Tambah Jufrina, pada masa kini banyak sekolah lain begitu mewah dengan pembangunan dan pada masa yang sama didirikan pula sekolah-sekolah baru di Keningau.
Kami amat dhaif dari segi frasarana jika dibandingkan dengan sekolah lain sedangkan sekolah kami terletak dalam kawasan bandar, amat menyedihkan, katanya sambil mengharapkan simpati semua pihak.
“Bantu-bantulah kami”, katanya mengakhiri perbualan.
Sementara itu dua orang pelajar yang ditemui iaitu, Ignatia Justine dan Erna Fiona Placidus pelajar tingkatan dua turut melahirkan rasa kurang selesa dengan kekurangan kemudahan yang diperlukan.
Contoh yang jelas kata mereka ialah kekurangan bangunan dan gelanggang permainan, ketiadaan dewan dan tempat letak basikal, padang yang sempit dan kecil, meja belajar dan cermin yang rosak tidak diganti.
Mereka juga menyuarakan mengenai sistem perparitan yang tidak sistematik menyebabkan kawasan sekolah mudah digenangi serta ditakungi air ketika hujan turun.
“Suasana ini menjadikan sekolah kurang ceria”, jelas Ignatia dan Erna sambil berharap agar kemudahan-kemudahan yang diperlukan itu dapatlah disediakan.
Sementara itu seorang ibu Beatrice Able Podtung turut melahirkan rasa kesal dan sedih melihat apa yang dialami oleh pihak sekolah.
Beatrice yang juga bekas pelajar sekolah tersebut sejak tahun 1988 berkata bahawa masalah kurangnya frasarana dan air bertakung ketika musim hujan sudah lama wujud.
Kini Beatrice yang bertugas sebagai seorang guru di sekolah berkenaan turut menjelaskan bahawa pekara yang sama, masalah yang sama masih wujud.
“Sebagai seorang ibu, guru, bekas pelajar dan kakak kepada adik-beradik yang bersekolah di sini”, saya melahirkan rasa sedih dan kekecewaan ini.
Selain Beatrice, adik-beradiknya juga turut menempa kejayaan di sekolah ini apabila seorangnya menjadi doktor dan seorang lagi Jane Able telah mendapat keputusan cemerlang dalam PMR tahun lalu dengan memperoleh 7A.
Justeru, Beatrice meminta semua pihak berusaha membantu sekolah bagi menangani masalah yang berlaku kerana pihak sekolah tidak mempunyai peruntukan yang cukup.
Berdasarkan fakta dan realiti yang sebenar, hasil tinjauan penulis terhadap sekolah tersebut maka dapatlah dirumuskan antara masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah adalah seperti yang berikut:

1) Keluasan kawasan sekolah
· Seluas kira-kira 2.3 ekar dan agak kecil
· Kawasan yang kecil mengekang pelbagai aktiviti yang hendak dilaksanakan

2) Bangunan dan bilik darjah yang terhad
· Memberi kesan kepada aktiviti yang berbentuk akademik dan kokurikulum

3) Bangunan lama yang sudah usang
· Tidak boleh digunakan lagi
· Dinding berlubang, reput, terkopak dan buruk
· Didiami kala jengking, dan lipan
· Telah dimakan anai-anai
· Tidak selamat dan merbahaya

4) Gelanggang permainan yang lama dan cuma satu
· Gelanggang berlubang, kasar dan tidak selamat
· Aktiviti kokurikulum dan sukan sukar dilaksanakan dengan sempurna

5) Kawasan padang sempit
· Kadangkala berkongsi dengan sekolah rendah
· Menganggu keselesaan pelajar dan guru
· Menjejaskan aktiviti PJK, sukan dan kokurikulum

6) Ketiadaan padang yang luas
· Menyukarkan para pelajar dan guru mengadakan aktiviti kokurikulum dan kurikulum
· Selama ini para pelajar biasanya mengadakan latihan kawad, perbarisan, sukan dan sebagainya di luar kawasan sekolah (latihan biasanya dijalankan di tempat laluan kenderaan dan tempat letak kereta ibu bapa, guru dan orang awam). Keadaan ini turut menganggu keselesaan pelajar dan guru untuk mengadakan sesi latihan.


7) Ketiadaan kantin milik sekolah
· Kantin yang ada milik persendirian dan terikat dengan perjanjian dengan pihak gereja.
· Keadaan ini menyukarkan pihak sekolah untuk membuat pemantauan dan kawalan dari segi kualiti dan harga makanan.

8) Bangunan konkrit tiga tingkat
· Syiling bangunan reput, terkopak, berlubang dan buruk di tingkat tiga
· Pagar tangga berkarat dan bengkok

9) Ketiadaan Dewan
· Menjadi penghalang kepada pelbagai aktiviti sekolah

10) Tapak perhimpunan sekolah
· Simen retak (tempat guru berhimpun)
· Kadangkala becak dan digenangi air (tempat murid berdiri)
· Jika hari hujan dan cuaca panas, perhimpunan tidak dapat dijalankan
· Air kadangkala bertakung dan lebih teruk jika hujan lebat.

11) Pondok ilmu
· Zink berkarat
· Pancuran air rosak dan tidak berfungsi
· Apabila hujan turun, lantai berair
· Ruang sempit tidak dapat menampung bilangan pelajar yang ramai untuk melakukan aktiviti

12) Bilik Guru
· Ruang sempit dan menganggu keselesaan guru-guru yang ramai
· Buku-buku dan fail berlambak di atas dan di bawah meja guru

13) Ketiadaan Bilik Gerakan
· Menyukarkan guru-guru untuk mengadakan mesyuarat, perjumpaan, perbincangan dan taklimat pada masa-masa tertentu
· Terpaksa menggunakan Pusat Sumber atau bilik guru untuk tujuan yang berkenaan

14) Stor penyimpanan alat-alat PJK dan sukan
· Sempit dan tidak selesa
· Terkopak

15) Stor penyimpanan alat-alat kebun
· Dinding lama dan buruk
· Sempit dan tidak selesa

16) Ketiadaan bilik agama
· Guru-guru agama menggunakan bilik darjah yang lain untuk mengadakan kelas agama agar pnp tidak terganggu
· Bilik agama yang ada sekarang tidak lagi sesuai digunakan kerana bangunannya sudah lama

17) Ketiadaan Bilik Surau
· Menyukarkan guru-guru dan pelajar mengerjakan sholat
· Guru-guru terpaksa pulang ke rumah untuk mengerja sholat kerana bilik yang ada kurang sesuai dari segi keselesaan dan kebersihannya.
· Serba sedikit turut menejejaskan pelaksanaan aktiviti berbentuk keagamaan

18) Ketiadaan Bilik Pendidikan Seni Visual
· Menyulitkan pelaksanaan Pendidikan Seni
· Tiada tempat penyimpanan fail dan hasil kerja pelajar yang lebih sistematik dan selamat
· Pelajar terpaksa menggunakan pondok ilmu dan ruang terbuka di kawasan sekolah untuk menjalankan aktiviti seni dan ini menganggu harta sekolah yang lain serta menimbulkan masalah disiplin

19) Ketiadaan Bilik Muzik
· Pendidikan Muzik tidak dapat dilaksanakan kerana ketiadaan bilik muzik

20) Bilik Bahasa
· Pihak sekolah merancang untuk mewujudkan bilik bahasa kerana kewujudannya dianggap penting
· Sekolah tidak mempunyai bilik bahasa

21) Ketiadaan bilik KH (Jahitan)
· Bilik KH (Jahitan) yang sedia ada telah digunakan sebagai bilik ketua-ketua Jabatan disebabkan kekurangan ruang bilik guru yang sedia ada.
· Menyukarkan penyimpanan hasil kerja,alat dan bahan pelajar dan guru subjek KH-Ekonomi Rumah Tangga.

22) Bilik Kebudayaan yang sempit
· Bilik Kebudayaan yang ada sempit dan kurang selesa
· Bilik Kebudayaan menggunakan ruang di bawah tangga yang sempit
· Menimbulkan masalah dari segi penyimpanan peralatan pakaian

23) Ketiadaan Bilik Latihan bagi aktiviti kokurikulum dan kurikulum
· Persatuan BI tidak dapat menjalankan sesi latihan seperti latihan drama, choral speaking, koir dan sebagainya secara efektif kerana tidak ada bilik yang sesuai (latihan selama ini dijalankan di dalam bilik SAL dan menyebabkan bilik ini tidak dapat digunakan untuk aktiviti pnp.

24) Sistem Perparitan yang tidak sistematik
· Air melimpah ruah jika hujan lebat menyebabkan kawasan sekolah ditakungi dan digenangi air.

Justeru, melihat kepada keadaan dan masalah yang timbul, sudah tentulah SFX amat memerlukan pembangunan, perhatian dan penyelesaian segera. Sekiranya keadaan ini masih berlarutan sudah pasti hasrat Wawasan 2020 tidak akan tercapai sebaliknya ianya hanya sekadar hiasan kata-kata. Hasrat murni ini akan menjadi ‘angan-angan kosong’ atau ‘mimpi belaka’. Maka itu, sewajarnya sekolah dan dunia pendidikan perlu diletakkan pada landasan dan fundamental yang kukuh untuk mencapai matlamat pendidikan negara dan melonjakkan kecemerlangan pendidikan agar setanding dengan negara-negara maju serta menjadikan pendidikan yang ‘bertaraf dunia’. Usaha memartabatkan pendidikan dan menjana kualiti pendidikan perlu menjadi sasaran penting dan diperjuangkan. Gambaran mengenai penyelesaian, langkah-langkah positif, pro - aktif dan tindakan yang lebih konkrit, lebih intelektual serta relevan perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas, menyeluruh, lebih tuntas, teliti, mantap dan tepat. Komitmen dan sikap kebertanggungjawaban semua pihak dalam membina kemajuan amat perlu dan dialu-alukan.
Apapun yang jelasnya, ternyata kini SFX sangat dahagakan pembangunan. SFX sudah lama wujud dan perlukan perubahan serta pembaharuan. SFX PERLUKAN PEMBANGUNAN SEGERA. Masalah pembangunan perlu dirungkai dan diatasi segera.
Sehubungan dengan itu, Yang Dipertua PIBG SFX Johnny T. Kulai merayu kepada Kerajaan Negeri, pihak swasta, orang-orang kenamaan, NGO, bekas pelajar sekolah itu, orang ramai dan semua pihak untuk tampil membantu sekolah yang banyak berjasa itu.
Masalah pembangunan dan kekurangan kemudahan yang dihadapi oleh sekolah katanya sudah tentu memberi implikasi terhadap iklim pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Masalah ini katanya perlulah diatasi segera dan semua pihak kena bantu sekolah.
“Kita tidak mahu masalah ini berpanjangan sehingga anak-anak kita, para guru dan ibu bapa turut menerima tempiasnya” jelas Johnny.
“Kesan buruk mungkin berlaku terhadap prestasi anak-anak dan sekolah, sekiranya bentuk kemudahan yang diperlukan tidak dapat disediakan”, ujar Johnny lagi.
Oleh itu PIBG dan pihak sekolah akan terus bekerjasama untuk melakukan pelbagai perkara bagi mencari dana dan membangunkan sekolah.
Kini, bersama dengan pihak sekolah, PIBG akan mengadakan ‘Majlis Makan Amal’ pada 1-11-2008 bertempat di Hotel Juta dengan tujuan untuk mencari dana bagi mengisi tabung pembangunan sekolah.
Dengan adanya aktiviti ini, katanya orang ramai bolehlah menghulurkan bantuan bagi menyokong dan menjayakan program yang dirancangkan.
Kepada mereka yang ingin menghulurkan sumbangan, bolehlah disalurkan melalui akaun MAYBANK PIBG bernombor 510095408874 dan cek yang ditulis atas nama PIBG SM. St. Francis Xavier.
Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut boleh berhubung terus kepada pihak sekolah tel 087331325 atau fak 087338973.
Setiausaha PIBG Hanafi Mohd Adnan ketika ditemui berkata setakat ini terdapat juga institusi kewangan dan syarikat swasta yang menghulurkan sumbangan sebagai rasa tanggungjawab dan prihatin mereka.
Beliau sangat mengalu-alukan sumbangan tersebut dan mengucapkan terima kasih atas perhatian dan komitmen yang diberikan.

Kursus ICT

Hari ni saya mengikuti kursus ICT di sekolah dengan teman2 guru yg lain....seronok kursus ni..

Hari Pertama Blog

Ini hari pertama saya melancarkan blog saya sendiri...diharap dengan adanya blog ini dapatlah saya berkongsi cerita dan sebarang artikel yang bernas...sila lawat blog saya untuk maklumat-maklumat dan berita-berita terkini di sekitar Sabah khasnya di daerah Keningau.

Jumpa lagi.